Skip to main content

Meningitis

"Meningitis adalah penyakit yang disebabkan oleh peradangan pada selaput pelindung yang menutupi saraf otak dan tulang belakang yang dikenal sebagai meninges. Peradangan biasanya disebabkan oleh infeksi dari cairan yang mengelilingi otak dan sumsum tulang belakang."



Assalamualaikum.
Hari ini aku akan menceritakan bagaimana penyakit meningitis ini seakan-akan mengubah hidup aku dan keluarga. 
Sebelum ini aku tidak pernah tahu tentang penyakit ini sehinggalah ia sendiri menimpa abang sulungku. Abang aku sebelum ini seorang guru di sebuah sekolah rendah di Klang, Selangor. Dia seorang yang sangat bertanggungjawab dan penyabar. Sebagaimana kebiasaan seorang anak sulung. Sukar untuk aku senaraikan segala sifat-sifat baiknya yang lain. Terlalu banyak bagiku. 
Walaupun, adik beradik lain juga rapat dengannya, tetapi mungkin aku lebih rapat dengannya kerana aku merupakan adik bongsunya. Boleh dikatakan juga bahawa dialah abang yang paling aku sayangi jika dibandingkan dengan yang lain. Namun, entah di mana silapnya dia diuji dengan dugaan yang begitu besar seperti ini. Malahan, dugaan ini juga dipikul oleh kami sekeluarga.
Kejadian ini berlaku pada akhir bulan Jun 2013 jika tidak silap.  Ketika itu aku berada di asrama. 
Mulanya, mama aku ada mengirimkan surat melalui pengawal keselamatan sekolah mengatakan bahawa dia tidak dapat melawat aku pada hujung minggu tersebut kerana perlu berangkat ke Selangor setelah mendapat berita bahawa abang aku jatuh sakit. Pada malam itu, terus sahaja aku menelefon mama menggunakan telefon awam di sekolahku. Aku bertanyakan tentang keadaan abang. Sakit apa yang mama maksudkan itu? Tetapi mama hanya cakap bahawa abang aku demam sahaja. Tiada apa-apa yang perlu aku risaukan. Mendengarkan tentang itu, aku berasa lega. Aku agak risau pada awalnya. 
Minggu hadapannya, tibalah masa untuk aku pulang ke rumah setelah dua minggu berada di asrama. Abah menjemputku seperti kebiasaannya. Tetapi ketika itu dia tidak terus pulang ke rumah. Lalu, aku bertanya kepada abah. Kemanakah kita nak pergi? Abah menjelaskan bahawa abang aku telah dipindahkan ke hospital di sini iaitu di Kedah. Aku menjadi sedikit bingung. Kata mama, abang hanya demam. Kenapa sampai perlu ditahan di hospital? Dan perlu dipindahkan juga hingga ke Kedah? Pertanyaan itu tidak aku diamkan. Aku tanyakan kepada abah. Tetapi jawapannya agak mengecewakan. Abah seperti kelu untuk bercerita. Dia hanya menyuruh aku tunggu dan lihat sendiri apabila sampai di hospital nanti. Aku hanya menurut sahaja melihatkan abah seperti tidak ada mood seperti kebiasaannya. Sepanjang perjalanan ke hospital, aku langsung tidak menjangkakan apa yang telah berlaku. Apa yang menimpa abangku. Dan pada masa yang sama memberi kesan kepada aku dan keluarga. 
Sesampainya di hospital, aku ternampak mama sedang berada di kerusi menunggu. Ada juga ibu saudaraku dan beberapa orang kenalan abah dan mama di sebelah. Aku seperti mahu cepat-cepat masuk berjumpa abangku. Tetapi mama meminta aku menunggu kerana perlu bergilir-gilir untuk masuk ke wad tersebut. Sejurus itu, aku tersedar bahawa abangku sebenarnya di tempatkan di wad ICU atau Unit Rawatan Rapi. Aku berasa terkejut dan gementar. Entah apa sebenarnya yang berlaku kepada abang aku. Fikiran aku kusut memikirkan tentang apa sebenarnya yang telah berlaku. Aku tidak henti-henti bertanya kepada mama dan abah. Tetapi mereka hanya diam. Hanya ibu saudara aku yang meminta aku bertenang dan lihat sendiri nanti.
Tibalah masa aku dibenarkan masuk ke dalam wad tersebut. Perlahan-lahan aku masuk mencari kelibat abangku. Aku hanya mahu dia berada di atas katil dan tersenyum menyambut kedatangan aku. Tetapi semua itu hanyalah apa yang aku harapkan. Di hadapanku ada sebuah katil di mana abangku sedang terlantar di atasnya. Dia dalam keadaan tidak sedarkan diri. Penuh wayar mencucuk di seluruh badannya. Badannya kurus kering. Tidak bermaya. Sebak aku mengenangkan kembali keadaannya pada ketika itu. Dia bukanlah seperti abang aku yang aku kenal. Aku kelu melihat keadaannya. Aku terus menangis semahu-mahunya tanpa menghiraukan sesiapa. Perkataan tidak dapat menggambarkan bagaimana perasaan aku ketika itu. Hatiku seolah-olah hancur. Sedih yang teramat sangat. 
Kemudian, semasa aku keluar dari bilik itu, mama dan abah perlahan-lahan menjelaskan segala yang berlaku. Kata mereka, abang aku tiba-tiba tidak sedarkan diri ketika ingin bersiap untuk ke tempat kerja. Teman serumahnya kemudian membawanya ke hospital dan memaklumkan kepada mama dan abah. Seterusnya, dia disahkan menghidap jangkitan kuman di selaput otak atau meningitis. Mama dan abah meminta dia dipindahkan ke Kedah agar mudah untuk diuruskan. Punca penyakit tidak dapat dikenalpasti, tetapi mungkin berjangkit melalui udara dan disebabkan antibodinya lemah pada ketika itu, menyebabkan dia dijangkiti penyakit. 
Air mataku seakan-akan kering kerana tidak berhenti menangis pada hari itu. Pulang sahaja ke rumah, keadaan rumah seperti tiada roh. Sunyi sepi. Kosong. Walaupun berpenghuni. Kami sekeluarga berasa sangat sedih tentang perkara yang menimpa kami. Tetapi kami sedar bahawa Allah tidak akan menguji seseorang melebihi kemampuannya. Dan setiap ujian pasti ada hikmahnya.
Bersambung pada entri seterusnya.
Terima kasih kerana membaca.

Comments

Popular posts from this blog

STPM

Sebagai bekas pelajar STPM, aku boleh katakan bahawa belajar di Tingkatan 6 sangat berbaloi dan sedikit pun aku tidak menyesal membuat keputusan untuk menyambung pelajaranku di tingkatan 6. Ini kerana, dasar kerajaan  yang telah memberi peluang para pelajar Tingkatan 6 menjejakkan kaki ke menara gading dengan lebih pantas. Namun, calon STPM perlu membuat persediaan yang mantap berikutan tempoh belajar setiap semester lebih kurang 5 bulan sahaja iaitu  1 semester semasa 6 rendah, manakala selebihnya pada 6 atas. Bermula tahun 2013, sistem semester ini mula diguna pakai dan di samping menghadapi peperiksaan di setiap penghujung semester, para pelajar juga dikehendaki membuat kerja kursus. Setiap mata pelajaran mempunyai kerja kursus yang tersendiri.    Di sini aku akan senaraikan beberapa kelebihan STPM untuk sesiapa yang ingin membuat keputusan untuk menyambung pelajaran selepas SPM Ianya diiktiraf bagi kemasukan ke kebanyakan universit...

Intro

Assalamualaikum dan selamat sejahtera Oleh kerana ini adalah entri pertama saya dalam blog ini, eloklah saya memperkenalkan diri saya. Saya bernama Alia Hani bt Ahmad Nasruddin. Dilahirkan di Pulau Langkawi, Kedah pada 2 Jun tahun 1997. Saya dibesarkan di Langkawi selama 12 tahun sebelum berpindah ke Yan, Kedah yang berhampiran dengan rumah nenek yang sudah tua.     Saya memulakan pengajian seawal usia 4 tahun di Tadika Sayang, Langkawi kemudian melanjutkan pelajaran ke sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Temonyong di daerah yang sama. Saya berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam UPSR untuk melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, Kedah. Setelah memperoleh keputusan SPM, saya membuat keputusan untuk menyambung pelajaran ke tingkatan 6. Setelah itu saya berjaya menyambung pelajaran dalam peringkat ijazah sarjana muda di Universiti Putra Malaysia (UPM) dalam program Bacelor Komunikasi.     Saya anak bongsu dari lima adik beradik. Ti...

STPM part 2

Hampir setahun aku berpisah dengan kawan-kawan seperjuangan STPM 2015/2016. Aku sangat rindukan pengalaman aku bersama-sama teman perjuangan. Selepas keputusan SPM diumumkan pada bulan 3 2015, aku hanya membuat permohonan ke Matrikulasi. Apabila keputusan Matrikulasi diumumkan, aku tidak berjaya mendapat tempat ke matrik, walau bagaimanapun aku tidak begitu kecewa kerana aku telah membuat keputusan untuk menyambung pelajaran ke tingkatan 6. Pada mulanya, aku ditawarkan untuk menyambung tingkatan 6 di SMKA Kedah dalam aliran agama. Namun, aku terpaksa menolak kerana bimbang tidak dapat memperoleh keputusan yang baik kerana subjek yang banyak. Tambahan pula, sekolah tersebut jauh dari rumahku. Oleh itu, aku telah membuat permohonan untuk menukar aliran pada masa yang sama menukar sekolah.  Seterusnya, permohonan aku berjaya dan aku ditempatkan di SMK Yan dalam aliran sastera.  Aku telah ditempatkan di kelas Prau2E dengan subjek Pengajian Am, Bahasa Melayu, Geografi dan Ekon...