Skip to main content

Adakah Pelangi Selepas Hujan?

Hari demi hari berlalu. Aku sudah mula untuk menerima perkara yang telah terjadi.
Aku dan keluargaku berulang alik setiap hari dari rumah ke hospital yang perjalanannya mengambil masa lebih kurang 30 minit. Setiap hari, mama, abah dan abang keduaku akan membacakan Yassin atau surah-surah dari Al Quran untuk abang. Dan sebelum pulang ke rumah, mama akan membisikkan ke telinga abang kata-kata seperti mengharapkan dia cepat sembuh, dan memberitahu bahawa kami akan kembali esok. Aku akan menangis setiap kali melihat situasi tersebut.
Alhamdulillah kami dapat melihat sendiri perkembangan kesihatan abang. Dia sudah sedarkan diri dan dapat mengeluarkan perkataan walaupun dengan perlahan. Kemudian, dia dapat duduk dengan bantuan dan sudah boleh makan makanan yang lembut seperti bubur nasi. Kami sekeluarga akan bergilir-gilir menyuapkan makanan kepada abang. Dan aku dapat lihat keperitan dia untuk makan.
Setiap hari, wad itu penuh dengan saudara-mara dan rakan-rakan abangku. Saudara-mara yang terdekat pula seperti berkampung di hospital itu untuk melihat abang.
Setelah beberapa minggu di hospital, abang akhirnya sudah boleh pulang ke rumah. Walaupun dia masih belum boleh bergerak, bercakap atau makan dengan mudah tetapi rawatannya akan diteruskan di rumah.
Seterusnya, seluruh umat Islam mula berpuasa pada hari abang dibawa pulang ke rumah. Namun, kami sekeluarga tetap menguruskan abang seikhlas hati. Walau aku tak tahu berapa banyak air mata yang tumpah sepanjang ramadan itu. Terutama dari diriku sendiri.
Badan abang masih lumpuh. Segala-galanya perlu dibantu seperti untuk  berbaring, atau duduk. Makan juga masih sukar. Badannya yang susut masih belum berisi.
  Aku ada menunjukkan buku kepada abang dan dia sudah boleh membaca perkataan yang ditunjukkan walaupun suaranya kabur. Ingatannya mungkin sudah beransur pulih.
Setiap hari, mama dan abah akan mebawa abang untuk rawatan fisiologi. Dia sudah boleh menggerakkan sedikit demi sedikit anggota badannya.
Tibanya hari raya, kami sekeluarga memakai baju baru berwarna ungu seragam. Aku masih ingat, mungkin tahun itu merupakan hari raya yang paling sedih dalam hidupku. Aku merasakan seperti kehilangan seorang abang walaupun dia masih ada.
Beberapa bulan selepas itu abang sudah boleh berjalan, bercakap dan makan seperti biasa. Tetapi ingatannya masih tidak begitu pulih. Dia tidak tahu apa yang telah menimpanya. Setiap hari dia akan bertanya dimanakah dia berada. Mengapakah dia disitu dan sebagainya berulang-ulang kali. Mama kemudiannya menulis diari mengenai bagaimana pertama kali dia dimasukkan ke hospital dan peristiwa yang berlaku beberapa hari sebelum dan selepasnya. Diari itu akan dia baca setiap hari. Walaupun dia masih bingung dengan apa yang berlaku tetapi sekurang-kurangnya kami telah berusaha untuk mengembalikan ingatannya.
Kini, abang aku sudah agak pulih walaupun semua karakter asalnya telah hilang sepenuhnya. Dia juga masih sukar untuk mengingati sesetengah perkara. Namun begitu, perkembangan tetap dapat dilihat dari pertama kali dia terlantar di hospital.
Kami sekeluarga reda dengan ketentuan Allah dan bersyukur kerana abang masih boleh pulih walaupun lambat.
Terima kasih kerana membaca.

Comments

Popular posts from this blog

STPM

Sebagai bekas pelajar STPM, aku boleh katakan bahawa belajar di Tingkatan 6 sangat berbaloi dan sedikit pun aku tidak menyesal membuat keputusan untuk menyambung pelajaranku di tingkatan 6. Ini kerana, dasar kerajaan  yang telah memberi peluang para pelajar Tingkatan 6 menjejakkan kaki ke menara gading dengan lebih pantas. Namun, calon STPM perlu membuat persediaan yang mantap berikutan tempoh belajar setiap semester lebih kurang 5 bulan sahaja iaitu  1 semester semasa 6 rendah, manakala selebihnya pada 6 atas. Bermula tahun 2013, sistem semester ini mula diguna pakai dan di samping menghadapi peperiksaan di setiap penghujung semester, para pelajar juga dikehendaki membuat kerja kursus. Setiap mata pelajaran mempunyai kerja kursus yang tersendiri.    Di sini aku akan senaraikan beberapa kelebihan STPM untuk sesiapa yang ingin membuat keputusan untuk menyambung pelajaran selepas SPM Ianya diiktiraf bagi kemasukan ke kebanyakan universit...

Depression

Assalamualaikum semua. Baru-baru ini telah dikejutkan dengan kematian seorang penyanyi dari Korea Selatan kerana bunuh diri iaitu Kim Jonghyun dari kumpulan SHINee. Kematiannya berlaku dalam tahun yang sama dengan kematian Chester Bennington iaitu penyanyi utama kumpulan Linkin Park, juga akibat bunuh diri. Punca bunuh diri juga sama iaitu akibat depression atau kemurungan. Gangguan mental seperti kemurungan sehingga hari ini masih sukar diterima oleh masyarakat sebagai salah satu daripada jenis penyakit meskipun mereka yang menghidapnya lebih ramai berbanding penyakit yang dapat dilihat secara fizikal. Apa yang menyedihkan ialah mereka yang menghadapi masalah gangguan mental seperti kemurungan ini menderita dalam diam.  Sesungguhnya, kemurungan merupakan  penyakit yang cukup berbahaya. Ia mampu menyongsangkan perspektif normal seseorang sehingga mengakibatkan perubahan tingkah laku dan akhirnya mencederakan diri sendiri atau lebih teruk lagi - bunuh diri. Kini pen...

Etika Perniagaan dalam Islam

Assalamualaikum Pagi tadi aku ada terbaca tentang etika perniagaan dalam sebuah akhbar. Aku terasa ingin berkongsi  dengan semua apa etika perniagaan mengikut Islam. Ramai pada hari ini, mula berjinak-jinak dengan dunia perniagaan sama ada kecil-kecilan atau besar-besaran.  Ada yang membuka premis kedai-kedai malah ada yang berniaga online.  Perniagaan online antara yang menjadi pilihan peniaga kerana kebanyakan pembeli  lebih gemar melayari internet untuk mencari barang yang hendak dibeli. Antara etika perniagaan dalam Islam yang seharusnya diikuti oleh para peniaga adalah : 1. Pematuhan terhadap kontrak. Islam memandang berat terhadap janji. Seorang peniaga patut mematuhi amanah, janji dan kontrak yang dilakukannya. 2. Penipuan dan salah tafsir iklan. Para peniaga hendaklah berlaku jujur dalam membuat iklan, hal ini kerana iklan antara medium yang menarik minat pelanggan. 3. Pengukuran yang tepat. Tidak menipu dalam timbangan bagi peroleh keuntun...